Isu Hukuman Sebat Ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno

>> Saturday, August 29, 2009

Isu hukuman sebat yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno kerana kesalahan meminum arak di tempat terbuka,merupakan isu yang sedang hangat dipaparkan di dada2 akhbar Malaysia akhir2 ini.Isu ini telah menarik pandangan banyak pihak lantaran yang menerima hukuman adalah seorang wanita..Isu ini juga amat menarik untuk diketahui kerana ia melibatkan penguatkuasaan undang2 Syariah yang selama ini diletakkan dibawah bidang kuasa kerajaan negeri.Oleh kerana hukuman sebat rotan di antara undang2 sivil dan syariah berbeza,maka ia telah mencetuskan kekeliruan ramai.Artikel di bawah amat penting untuk dibaca berkenaan hukuman sebat terhadap peminum arak...
____________________________________

Oleh: Dato' Seri Abdul Hadi Awang


Isu hukuman sebat kepada pesalah minum arak telah menarik perhatian pelbagai pihak untuk memberikan pandangan dan komen masing-masing. Hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (Pindaan) 1987 sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. Apabila asasnya adalah nas, maka ianya adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya kerana ianya berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 - 80 rotan jumlahnya.

Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak. Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi. Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam.

Ianya memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan. Oleh yang demikian, kita meminta supaya pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan itu sehingga memberi gambaran salah mengikut syariat Islam. Dalam masa yang sama kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun dan Penyayang.

Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam. Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam.

Haramnya arak adalah tidak mengira tempat samada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri. Menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya adalah seumpama menghadapi nyamuk aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi !

Read more...

KHUTBAH RAMADHAN DARI RASULULLAH...

>> Friday, August 21, 2009


DARIPADA Salman al-Farisi katanya bahawa Rasulullah saw berkhutbah pada hari terakhir Syaaban sempena ketibaan Ramadan yang bermaksud:


“Wahai manusia! Sudah datang kepada kalian bulan agung, bulan penuh berkat, bulan dalamnya ada malam yang lebih baik daripada seribu bulan. “Allah mewajibkan kepada kamu ibadat puasa dan menghidupkan malam harinya sebagai amalan tambahan (sunat). Sesiapa yang pada Ramadan mendekatkan diri dengan amalan sunat, maka ganjarannya seperti orang melakukan amalan wajib pada bulan lain. “Dan sesiapa yang melakukan satu amalan wajib pada bulan ini, maka balasannya seperti orang yang melakukan 70 amalan wajib pada bulan lain. Bulan Ramadan adalah bulan sabar dan pahala kesabarannya adalah syurga.

“Bulan di mana wujudnya semangat tolong menolong dan bulan bertambahnya rezeki orang yang beriman. Sesiapa yang memberi makan berbuka puasa, maka diampuni dosanya, dibebaskan daripada api neraka dan mendapat pahala seperti pahala orang berpuasa tanpa dikurangkan sedikit pun.”

Sahabat berkata: “Ya Rasulullah, kami semua bukanlah orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang yang berpuasa.”Sabda Baginda: “Allah akan memberikan pahala itu kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji kurma atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air.

“Ramadan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmat, pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus daripada api neraka.

“Sesiapa yang meringankan beban kerja orang gajinya dalam Ramadan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan daripada neraka.“Hendaklah kamu memperbanyakkan mengerjakan empat perkara dalam bulan Ramadan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat perlukan.

“Dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu itu ialah pertama, mengucapkan Lailahillallah (tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah) dan kedua, mengucapkan istighfar (memohon ampun) kepada Allah.

“Dua perkara lagi yang sangat kamu perlukan itu ialah pertama, perbanyakkan memohon kepada Allah supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga dan kedua, kamu berlindung daripada-Nya azab api neraka.

“Selain itu, sesiapa yang memberi minum seseorang yang berpuasa (ketika berbuka puasa), Allah akan memberi minum kepadanya dari kolam aku (Kolam al-Kauthar) dengan sekali minum saja yang menjadikan dia tidak akan berasa dahaga selama-lamanya hingga dia masuk ke dalam syurga.” – (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah)

Read more...

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK...

Assalamualaikum kepada para pengunjung blog ini..Malam ini adalah malam 1 Ramadhan 1430 Hijriah.Alhamdulillah,1 Ramadhan tahun ini saya sambut di bumi Malaysia.Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa, semoga Ramadhan tahun ini akan menjadi umpama suatu kebun yang banyak ditanam benih2 kebajikan..Allah menjanjikan bahawa bulan ini adalah bulan dilipat gandakan pahala bagi setiap amal kebajikan yang dilakukan walaupun sekadar memberi minum seteguk aiur sejuk bagi orang yang berpuasa..Insyaallah,pahalanya akan kita petik di hari Akhirat nnt..

Sabda Rasululullah.."Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan harapan keampunan, maka diampunkan dosa2nya yang terdahulu..

Ramadhan adalah bulan penyucian jiwa yang sebelumnya penuh dengan kekotoran..Ayuh,kita rebut peluang beramal di bulan ini!!

Read more...

FADHILAT AL-QURAN: JEJAKA KACAK TEMAN SETIA



Rasulullah S.A.W bersabda : 'Bila seseorang lelaki itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya, berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikapan, lelaki itu berada di antara kain kapan dan si mati.

Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Munkar dan Nakir, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Tapi lelaki kacak itu berkata,

"Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga."

Selepas itu dia berpaling pada temannya yang meninggal dan berkata,'Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih.'

Selepas soal siasat selesai, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala'ul A'laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bauan kesturi.

Rasulullah S.A.W bersabda :'Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Quran, mahupun dari nabi atau malaikat.'

Janganlah tinggalkan Al-Quran. Kepada yang rajin membaca Al_Quran teruskanlah sampai ke akhir hayat, kepada sesiapa yang dah lama tak buka Al-Quran - jangan sampai Quran anda berhabuk/bersarang labah-labah atas almari dan kepada yang tidak tahu membaca Al-Quran tu pergilah mengaji jangan malu-malu walau dah berusia. Yang dah pandai pun pergilah juga mengaji membetulkan tajwid kita.

Read more...

BELAJAR MELATIH DIRI UNTUK BERSANGKA BAIK

>> Thursday, August 20, 2009

Masalah, stress, tekanan, pergolakan jiwa semuanya datang dari minda kita.

Lebih tepat lagi, ia datang dari minda separa sedar kita kerana semua emosi adalah dari minda separa sedar. Minda kita mempunyai kapasiti untuk menarik masalah, stress, tekanan dan pergolakan datang kepada kita.


Sebabnya? Minda kita terbentuk menjadi negatif. Maka, ia menarik situasi-situasi negatif untuk dimunculkan dalam hidup kita. Kita berada dalam suasana negatif tanpa kita sedari kerana perbuatan-perbuatan negatif dah jadi satu kebiasaan pada kita.


Sesuatu perlu dilakukan untuk mengubahnya secara total, mengubahnya dengan penuh berkekalan, bukan sekadar sebulan dua sahaja. Jika minda kita ada kapasiti untuk menarik masalah, stress, tekanan dan pergolakan, minda juga boleh menarik kegembiraan, keceriaaan, kebahagiaan dan kedamaian untuk muncul dalam hidup kita.


Untuk itu, minda perlu dibentuk, diransang dan didorong menjadi positif.


Nak menjadi seorang yang cemerlang, anak cemerlang, ibu bapa cemerlang, terlebih dahulu kena ubah emosi menjadi cemerlang, menjadi warna positif kerana positif adalah sikap orang cemerlang. Silap ibu bapa adalah, mahu anak mereka cemerlang tapi tak menunjukkan sikap cemerlang di depan anak-anak.


Tak kira kita ni ibu bapa atau anak, sesuatu perlu dilakukan untuk kita merubah sikap. Positifkan diri supaya kita boleh mencapai kecemerlangan lalu membuat kita dikelilingi kegembiraan, kebahagiaan. Kesannya, dari situ kita boleh berumpa dengan pelbagai keajaiban. Kita akan berjumpa situasi-situasi menggembirakan, terjadi tanpa di sangka-sangka.


Jangan ambil remeh hal emosi, hal minda. Walaupun kedua-duanya hanya perkara kecil, tapi memberi kesan yang besar dalam hidup Anda. Belajar melatih diri untuk sentiasa bersangka baik, jujur dan mudah memberi maaf.

Bersangka baik sebaik yang mungkin, sekerap yang mungkin, selama yang mungkin.

Read more...

MUTIARA KISAH 4: Imam Ahmad Bin Hambal Dibelasah Dan Dipenjarakan

>> Monday, August 17, 2009

Imam Ahmad bin Muhammad bin Hambal. Beliau adalah Imam yang keempat dari fuqahak Islam. Beliau memiliki sifat-sifat yang luhur dan tinggi. Ahmad bin Hambal dilahirkan di Baghdad pada bulan Rabiul Awal tahun 164H. Beliau termasyhur dengan nama datuknya Hambal, kerana datuknya lebih masyhur dari ayahnya.

Ibnu Hambal hidup dalam keadaan miskin, kerana ayahnya hanya meninggalkan sebuah rumah kecil dan tanah yang sempit. Beliau terpaksa melakukan berbagai pekerjaan. Beliau pernah bekerja di tempat tukang jahit, mengambil upah menulis, menenun kain dan kadangkala mengambil upah mengangkat barang-barang orang. Beliau lebih mementingkan makanan yang halal lagi baik dan beliau tidak senang menerima hadiah-hadiah.

Ketika ia masih berumur 14 tahun, Ahmad bin Hambal telah belajar mengarang dan menghafal Al-Quran. Beliau bekerja keras dalam menuntut ilmu pengetahuan. Sebagai seorang ulama yang sangat banyak ilmunya, Ibnu Hambal pun seorang yang teguh imannya, berani berbuat di atas kebenaran. Dia tidak takut bahaya apa pun terhadap dirinya di dalam menegakkan kebenaran itu. Kerana Allah memang telah menentukan bahawa setiap orang yang beriman itu pasti akan diuji keimanannya. Termasuk juga para nabi dan rasul yang tidak pernah lepas dari berbagai ujian dan cubaan.

Ujian dan cubaan berupa fitnah, kemiskinan, seksaan dan lain-lainnya itu selalu akan mendampingi orang-orang yang beriman apalagi orang yang menegakkan kebenaran. Demikian juga halnya dengan Imam Hambali, terlalu banyak bahaya yang dihadapinya dalam berjuang menegakkan kebenaran agama. Ujian itu datangnya bermacam-macam kadangkala dari musuh kita dan dapat juga timbul dari kawan-kawan yang merasa iri dengan kebolehan seseorang.

Imam Hambali berada di zaman kekuasaan kaum Muktazilah yang berpendapat bahawa Quran itu adalah makhluk. Pendirian ini begitu kuatnya di kalangan pemerintah, sehingga barangsiapa yang bertentangan pendirian dengan pihak pemerintah tentu akan mendapat seksaan. Sebelum Al-Makmun ini, yakni di zaman sultan Harun Al-Rasyid, ada seorang ulama bernama Basyar Al-Marisy berpendapat bahawa Quran itu adalah makhluk. Baginda Harun Al-Rasyid tidak mahu menerima pendapat tersebut. Bahkan terhadap orang yang berpendapat demikian akan diberi hukuman. Kerana ancaman itu akhirnya Basyar melarikan diri dari Baghdad.

Sultan Harun Al-Rasyid pernah berkata: “Kalau umurku panjang dan masih dapat berjumpa dengan Basyar nescaya akan kubunuh dia dengan cara yang belum pernah aku lakukan terhadap yang lain?” Selama 20 tahun lamanya Syekh Basyar menyembunyikan diri dari kekuasaan Sultan.

Tetapi setelah Sultan Harun Al-Rasyid meninggal dunia, kemudian diganti dengan puteranya Al-Amin barulah Syekh Basyar keluar dari persembunyiannya. Kembali ia mengeluarkan pendapatnya itu, bahawa Quran itu adalah makhluk. Al-Amin juga sependirian dengan ayahnya tidak setuju dengan pendapat tersebut. Ia mengancam berat terhadap orang yang mengatakan Quran itu makhluk.

Kemudian kepala negara pindah lagi ke tangan saudara Al-Amin iaitu Al-Makmun. Di zaman pemerintahan Al-Makmun inilah pendapat tentang Quran itu makhluk mula diterima. Al-Makmun sendiri telah terpengaruh dan ikut berpendapat demikian. Pada suatu kali oleh Al-Makmun diadakan pertemuan para ulama besar, untuk membincangkan hal itu, tetapi para ulama tetap berpendapat bahawa Al-Quran itu adalah makhluk. Al-Makmun mengharapkan supaya pendapat itu diterima orang ramai.

Pada masa itu satu-satunya ulama yang keras berpendirian bahawa “Al-Quran itu bukan makhluk?” Hanyalah Imam Hambali. Secara terus terang ia berkata di hadapan Sultan:“Bahawa Al-Quran bukanlah makhluk yang dijadikan Allah, tetapi ia adalah Kalamullah.”

Imam Hambali satu-satunya ulama ketika itu yang berani membantah, sedangkan yang lainnya diam seribu bahasa. Kemudian ia ditangkap dan dihadapkan ke hadapan baginda. Ia dipanggil bersama tiga orang ulama yang lainnya, iaitu Imam Hassan bin Muhammad Sajah, Imam Muhammad bin Nuh dan Imam Ubaidah bin Umar. Kedua ulama di antara mereka sama menjawab dan membenarkan pendapat baginda sementara Imam Hambali dan Imam Muhammad bin Nuh dengan tegas menjawab bahawa Quran itu bukanlah makhluk. Keduanya lalu dimasukkan ke dalam penjara. Setelah beberapa hari dalam penjara datang surat dari Tharsus yang meminta supaya keduanya dibawa ke sana dengan dirantai.

Kedua ulama tersebut betul-betul dirantai kedua kaki dan tangannya dan ditunjukkan di hadapan orang ramai. Kemudian dibawa ke Tharsus, sesampainya di sana keduanya dimasukkan ke dalam penjara. Kerajaan mempunyai seorang ulama besar bernama Ahmad bin Abi Daud, yang pandai berbicara namun lemah dalam pendirian.

Terhadap Imam Hambali mereka minta supaya dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya. Baginda raja menerima usulan tersebut. Lalu Imam Hambali dihadapkan depan raja dan ditanyakan tentang pendiriannya. Namun ia tetap menyampaikan pendiriannya bahawa Al-Quran itu ialah Kalamullah bukan makhluk. Dan ia menegaskan lagi bahawa ia tidak akan berubah dari pendiriannya itu.

Akhirnya terjadilah persidangan yang dipimpin oleh baginda sendiri. Kemudian baginda memanggil Imam Hambali dan berkata: “Atas nama saya sebagai kerabat Nabi Muhammad SAW saya akan memukul engkau beberapa kali, sampai engkau membenarkan apa yang telah saya benarkan, atau mengatakan seperti yang saya kata?” Kerana Imam Hambali masih tetap dengan pendiriannya, maka baginda memerintahkan kepada perajuritnya untuk memukul Imam Hambali.

Ketika cambuk yang pertama singgah di punggung beliau, beliau mengucapkan “Bismillah.” Ketika cambuk yang kedua, beliau mengucapkan “La haula walaa quwwata illaa billah” (tiada daya dan kekuatan apa pun kecuali izin Allah). Ketika cambuk yang ketiga kalinya beliau mengucapkan “Al-Quran kalaamullahi ghairu makhluk” (Al-Quran adalah kalam Allah bukan makhluk). Dan ketika pada pukulan yang keempat, beliau membaca surah At-Taubah ayat 51.

“Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang ditetapkan oleh Allah bagi kami.”

Sehingga seluruh badan beliau mengalir darah merah.

Akhirnya beliau dimasukkan ke dalam penjara kembali. Pada suatu hari ketika Imam Hambali dibawa ke Kota Anbar dengan tangan yang terbelenggu, seorang yang alim bernama Abu Ja’far Al-Anbari menghampiri beliau. Imam Hambali bertanya kepadanya: “Hai Abu Ja’far apakah engkau susah melihat keadaanku?” “Tidak wahai Imam, engkau adalah pemuka umat, kerana umat manusia ada di belakangmu. Demi Allah, bila engkau mahu menjawab bahawa Quran itu makhluk, pastilah umat akan mengikutimu, dan bila engkau tidak mahu menjawab, maka umat juga tidak mahu menjawab seperti apa yang ingin engkau jawab. Bila engkau tidak mati dibunuh orang, pasti engkau juga akan mati dengan cara yang lain. Maka janganlah engkau mahu menuruti kehendak mereka.”

Mendengar kata-kata Ja’far itu beliau mencucurkan air mata dan berkata: “Masya-Allah!, Masya-Allah!, Masya-Allah!. Kemudian beliau pun dikunjungi oleh bekas penjahat bernama Abdul Haitsam Al-Ayyar dan berkata kepada beliau: “Wahai Imam, saya ini seorang pencuri yang didera dengan beribu-ribu cambukan, namun saya tidak mahu mengakui perbuatan saya, pada hal saya menyedari bahawa saya salah. Maka janganlah Imam gelisah dalam menerima dera, sebab engkau dalam kebenaran.”

Ketika Khalifah Al-Makmun meninggal dunia pada tahun 218H (833 M) setelah memerintah 20 tahun lamanya, yang mengganti beliau ialah saudaranya yang bernama Ishaq Muhammad bin Harun Al-Rasyid yang bergelar dengan Al-Muktashimbillah. Sebelum Khalifah Al-Makmun meninggal dunia beliau telah berpesan kepada bakal penggantinya itu bahawa faham Al-Quran itu makhluk harus dipertahankan.”

Kebijaksanaan kerajaan yang menyeksa para ulama yang tidak sependirian dengan faham kerajaan itu atas dasar hasutan seorang ulama kerajaan yang bernama Qadhi Qudhoti Ahmad bin Abi Daud (Daud). Ulama inilah yang memberikan usulan kepada Al-makmun bahawa jika Imam Ahmad bin Hambal tetap tidak mahu mengikuti bahawa Al-Quran itu makhluk hendaklah dihukum dengan hukuman yang berat.

Setelah kerajaan dipegang oleh Al-Muktasim ulama Ahmad bin Daud masih tetap menjadi qadi kerajaan. Pada suatu hari Qadi kerajaan ini cuba mengadili Imam Hambali dengan melakukan perdebatan akhirnya Ahmad bin Daud kalah kerana tidak dapat mengemukakan alasan yang lebih kuat. Walaupun demikian Imam Hambali tetap dimasukkan kembali ke dalam penjara.

Pada bulan Ramadhan pengadilan terhadap Imam Hambali diadakan lagi. Khalifah Al-Muktashim bertanya: “Al-Quran itu adalah baru, bagaimana pendapat anda.” “Tidak!, Al-Quran adalah kalam Allah, saya tidak sejauh itu membahasnya kerana di dalam Al-Quran dan hadith tidak disuruh membahas soal tersebut.” Jawab beliau.

Beliau dicambuk sampai berdarah, pada hal ketika itu bulan puasa. Baginda berkata: “Kalau kamu merasa sakit dengan pukulan ini, maka ikutilah saya, dan akuilah bahawa Al-Quran itu makhluk, supaya kamu selamat.”

Penderaan pun terus berlangsung, sehingga beliau terasa bahawa tali seluar yang menutup auratnya putus dan hampir turun ke bawah. Beliau pun mengangkatkan mukanya ke atas sambil berdoa: “Ya Allah!, atas namaMu yang menguasai Arsy, bahawa jika Engkau mengetahui bahawa saya adalah benar, maka janganlah Engkau jatuhkan penutup aurat ku.” Ketika itu pula seluar beliau yang akan jatuh itu naik ke atas kembali sehingga aurat beliau tidak jadi terlihat oleh orang ramai.

Penyeksaan terhadap beliau itu baru berakhir setelah selesai maghrib. Para hakim dan orang- orang hadir kemudian berbuka puasa di hadapan beliau. Sementara beliau dibiarkan saja tidak diberi sesuatu makanan untuk berbuka. Demikianlah seterusnya, pada hari yang kedua pun beliau masih tetap didera sampai seluruh badannya mencucurkan darah. Pada hari ketiga beliau masih tetap didera sehingga pengsan.

Setelah Al-Muktashim meninggal dunia ia diganti dengan puteranya Al-Watsiq. Pada masa ini banyak penganiayaan dilakukan terhadap para ulama. Khalifah Al-Watsiq inilah yang memancung leher ulama terkenal yakni Ahmad bin Naser Al-Khuza’i. Kepala Ahmad bin Naser digantung dan diletak tulisan yang berbunyi: “Inilah kepala Ahmad bin Naser yang tidak mahu mengakui bahawa Al-Quran itu makhluk, maka Tuhan memasukkan Ahmad bin Naser ke dalam neraka, kepala ini menjadi peringatan bagi mereka yang memalingkan dirinya dari kiblat.” Demikianlah tulisan yang diletakkan dekat leher Ahmad bin Naser.

Kemudian Khalifah Al-Watsiq meninggal dunia dan digantikan dengan saudara beliau yang bernama, Al-Mutawakkil. Pada masa inilah dicabut tentang faham muktazilah dan diadakan pembebasan terhadap semua ulama yang ditahan, termasuk Imam Ahmad bin hambal. Sementara itu Imam Hambali setelah dibebaskan beliau diberi hadiah sebanyak l0,000 dirham, namun hadiah tersebut beliau tolak. Kerana dipaksa untuk menerimanya, akhirnya beliau terima dan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.

Pada hari Jumaat tanggal 12 Rabiul Awal tahun 241 H/855 M beliau meninggal dunia yang fana ini dengan tenang dalam usia 77 tahun. Setelah mendengar wafatnya beliau, seluruh Kota Baghdad menjadi gempar jenazah beliau disembahyangkan lebih dari 130,000 orang muslimin. Demikian berakhirnya riwayat seorang penegak kebenaran dan meninggikan ilmu pengetahuan, setelah melalui berbagai seksaan dan penganiayaan. Semoga mereka yang berjuang pada jalan Allah menjadi kekasih Allah, yang selalu mendapat keberkahannya dan keredhaanNya.

Banyak lagi mereka yang berjuang pada jalan Allah akhirnya menerima ujian dan cubaan dengan berbagai penganiayaan dan seksaan.

Firman Allah ertinya:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan. “Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang- orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut: 2-3)

Read more...

MUTIARA KISAH 3: Imam Syafie Ditangkap Dan Dirantai

Imam Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.

Beliau dilahirkan di Ghazzah , nama sebuah kampung yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.

Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.

Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.

Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Iraq, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.

Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu sultan Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, sebab golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.

Suatu kali datang surat baginda Sultan dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap, sebab di dalam surat tersebut bahawa Imam Syafie termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.

Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit binatang yang diberi nama dengan natha’.

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke hadapan baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan beliau.

“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”
“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?”

Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”

Setelah membaca ayat di atas kemudian Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang baginda telah menjadi khalifah, jawapan salam baginda tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut.

Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”

“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.

Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah Hujarat ayat 6:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.

Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”

Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi.

Read more...

MUTIARA KISAH 2: Imam Malik Diheret Dan Didera

>> Sunday, August 16, 2009

Sambungan kisah Imam-imam mazhab yang diseksa.Kali ini kita baca pula kisah Imam Malek, pengasas kepada Mazhab Maliki..
____________________________________________________________

Imam Malik dilahirkan di sebuah perkampungan kecil yang bernama Ashbah, yang terletak di dekat Kota Himyar jajahan Yaman. Nama aslinya ialah Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir Al-Ashabally. Beliau adalah seorang ulama besar yang lahir di Madinah serta mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap dunia Islam.

Ketika Imam Malik berusia 54 tahun, pemerintahan berada di tangan baginda Al-Mansur yang berpusat di Baghdad. Ketika itu di Madinah dipimpin oleh seorang gabenor bernama Jaafar bin Sulaiman Al-Hasymi. Sementara itu Imam Malik juga menjabat sebagai mufti di Madinah. Di saat timbulnya masalah penceraian atau talak, maka Imam Malik telah menyampaikan fatwanya, bahawa talak yang dipaksakan tidak sah, ertinya talak suami terhadap isteri tidak jatuh. Fatwa ini sungguh berlawanan dengan kehendak gabenor, kerana ia tidak mahu hadith yang disampaikan oleh Imam Malik tersebut diketahui oleh masyarakat, sehingga akhirnya Imam Malik dipanggil untuk mengadap kepada gabenor.

Kemudian gabenor meminta agar fatwa tersebut dicabut kembali, dan jangan sampai orang ramai mengetahui akan hal itu. Walaupun demikian Imam Malik tidak mahu mencabutnya. Fatwa tersebut tetap disiarkan kepada orang ramai. Talak yang dipaksanya tidak sah. Bahkan Imam Malik sengaja menyiarkan fatwanya itu ketika beliau mengadakan ceramah-ceramah agama, kerana fatwa tersebut berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang harus diketahui oleh umat manusia.

Akhirnya Imam Malik ditangkap oleh pihak kerajaan, namun ia masih tetap dengan pendiriannya. Gabenor memberi peringatan keras supaya fatwa tersebut dicabut dengan segera Kemudian Imam Malik dihukum dengan dera dan diikat dengan tali dan dinaikkan ke atas punggung unta, lalu diarak keliling Kota Madinah. Kemudian Imam Malik dipaksa supaya menarik kembali fatwanya itu.

Mereka mengarak Imam Malik supaya Imam merasa malu dan hilang pendiriannya. Tetapi Imam Malik masih tetap dengan pendiriannya itu. Kerana ketegasannya itu, dia dihukum dengan sebat sebanyak 70 kali, yang menyebabkan tulang belakangnya hampir patah. Kemudian ia berkata kepada sahabat-sahabatnya:

“Aku dihukum dera begitu berat lantaran fatwa ku. Demikian Said Al-Musayyib, Muhamad Al-Munkadir dan Rabiah telah dijatuhi hukuman demikian lantaran fatwanya juga.”

Bagi Imam Malik hukuman semacam itu, bukanlah mengurangi pendiriannya, bahkan semakin bertambah teguh jiwanya. Ia tidak pernah takut menerima hukuman asalkan ia berada pada jalan kebenaran. Kerana memang setiap perjuangan itu memerlukan pengorbanan. Imam Al-Laits, seorang alim menjadi mufti Mesir ketika itu, saat mendengar bahawa Imam Malik dihukum lantaran fatwanya ia berkata: “Aku mengharap semoga Allah mengangkat darjat Imam Malik atas setiap pukulan yang dijatuhkan kepadanya, menjadikan satu tingkat baginya masuk ke syurga.”

Read more...

ULANGTAHUN PERKAHWINANKU..

>> Friday, August 14, 2009

Alhamdulillah, semalam 13 Ogos 2009 genap umur saya 25 tahun..Bermakna saya telah menjalani kehidupan di dunia ini selama 25 tahun juga..Dahulu,sewaktu kecil-kecil,jarang saya mengingati tarikh lahir sendiri..kadangkala dah berlalu sehari dua,baru teringat..Tiada sebarang hadiah dan majlis meraikan hari jadi..maklumlah, hidup saya sekadar anak seorang penoreh getah, masa saya dipenuhkan dengan aktiviti permainan kampung bersama rakan2 rapat..mandi sungai,tangkap ikan di sawah sewaktu musim menuai padi,lastik burung,main pistol "cap plom" dibuat dari buluh,berkhemah dalam hutan dan banyak lagi yang akan terus menjadi memori indah dalam hidup ini..

Kini,aktiviti hidup sudah berubah..Ditemani isteri tersayang,pertama kali saya menyambut Hari Lahir bersamanya.Memandangkan tahun ini juga adalah hari ulangtahun perkahwinan kami yang pertama (15 Ogos),isteri menghadiahkan seutas jam tangan..Saya juga menghadiahkannya 'sesuatu' yang dibeli di bumi Jordan..Terima kasih isteriku..Doa saya,semoga rumahtangga yang dibina dirahmati Oleh Allah,dikurniakan kebahagiaan yang kekal abadi, juga dianugerahkan zuriat yang soleh,berilmu dan seterusnya menjadi para mujahid yang berbakti pada agama.Amin..

PESANAN GURU..

Menjelang detik perkahwinan saya setahun yang lalu,saya berjumpa para guru di Jordan dan Malaysia,memohon panduan dan nasihat dari mereka..Kebanyakan mereka berpesan supaya sentiasa bersabar.Sabar dalam tindakan,sabar dalam mendengar celoteh isteri,sabar dalam percakapan dan segalanya yang memerlukan kepada kesabaran..Ya,kini terbukti benar.Setelah melayari kehidupan berumahtangga,baru saya faham kenapa 'sabar' itu yang diwasiatkan kepada saya dahulu..Tanpa sabar,rumahtangga boleh bergoncang..

Teringat saya kepada sebuah hadith yang menyeru para suami agar memuliakan para isteri..Sabda Rasulullah: 'Bertaqwalah kamu kepada Allah dalam urusan wanita,sesungguhnya ia dijadikan halal untukmu (akad nikah) dengan nama Allah,tidaklah seseorang memuliakan isterinya kecuali ia tergolong di kalangan orang mulia, dan tidaklah seseorang itu menghina isterinya, melainkan ia termasuk di kalangan orang2 yang hina'..

Terima kasih isteriku..

Read more...

MUTIARA KISAH 1: Imam Abu Hanifah Diracun

Teringat saya sebuah hadith yang pernah dibincangkan sesama sahabat di dalam usrah.Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Manusia yang paling hebat diuji adalah para anbiyak,para ulamak dan yang seumpama mereka (golongan yang sentiasa memperjuangkan kebenaran..)..Semoga kisah para Imam Mazhab berikut dapat dijadikan sebagai penguat hidup bagi kita bilamana dilanda ujian..Iman mereka tetap kental biar dilanda dugaan dahsyat dalam mempertahankan sebuah prinsip dan kebenaran..Saya susun kisah ini mengikut turutan zaman mereka

KISAH 1:


Imam Abu Hanifah adalah seorang imam Mazhab yang besar dalam dunia Islam. Dalam empat mazhab yang terkenal tersebut hanya Imam Hanafi yang bukan orang Arab. Beliau keturunan Persia atau disebut juga dengan bangsa Ajam. Pendirian beliau sama dengan pendirian imam yang lain, iaitu sama-sama menegakkan Al-Quran dan sunnah Nabi SAW.

Imam Hanafi dilahirkan pada tahun 80 Hijrah bertepatan tahun 699 Masehi di sebuah kota bernama Kufah. Nama yang sebenarnya ialah Nu’man bin Tsabit bin Zautha bin Maha. Kemudian masyhur dengan gelaran Imam Hanafi.

Kemasyhuran nama tersebut menurut para ahli sejarah ada beberapa sebab:

1. Kerana ia mempunyai seorang anak laki-laki yang bernama Hanifah, maka ia diberi julukan dengan Abu Hanifah.
2. Kerana semenjak kecilnya sangat tekun belajar dan menghayati setiap yang dipelajarinya, maka ia dianggap seorang yang hanif (kecenderungan/condong) pada agama. Itulah sebabnya ia masyhur dengan gelaran Abu Hanifah.
3. Menurut bahasa Persia, Hanifah bererti tinta. Imam Hanafi sangat rajin menulis hadith-hadith, ke mana, ia pergi selalu membawa tinta. Kerana itu ia dinamakan Abu Hanifah.

Waktu ia dilahirkan, pemerintahan Islam berada di tangan Abdul Malik bin Marwan, dari keturunan Bani Umaiyyah kelima. Kepandaian Imam Hanafi tidak diragukan lagi, beliau mengerti betul tentang ilmu fiqih, ilmu tauhid, ilmu kalam, dan juga ilmu hadith. Di samping itu beliau juga pandai dalam ilmu kesusasteraan dan hikmah.

Imam Hanafi adalah seorang hamba Allah yang bertakwa dan soleh, seluruh waktunya lebih banyak diisi dengan amal ibadah. Jika beliau berdoa matanya bercucuran air mata demi mengharapkan keredhaan Allah SWT. Walaupun demikian orang-orang yang berjiwa jahat selalu berusaha untuk menganiaya beliau.

Sifat keberanian beliau adalah berani menegakkan dan mempertahankan kebenaran. Untuk kebenaran ia tidak takut sengsara atau apa bahaya yang akan diterimanya. Dengan keberaniannya itu beliau selalu mencegah orang-orang yang melakukan perbuatan mungkar, kerana menurut Imam Hanafi kalau kemungkaran itu tidak dicegah, bukan orang yang berbuat kejahatan itu saja yang akan merasakan akibatnya, melainkan semuanya, termasuk orang-orang yang baik yang ada di tempat tersebut

Sebahagian dilukiskan dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bahawa bumi ini diumpamakan sebuah bahtera yang didiami oleh dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah terdiri orang-orang yang baik-baik sementara kumpulan kedua terdiri dari yang jahat-jahat. Kalau kumpulan jahat ini mahu merosak bahtera dan kumpulan baik itu tidak mahu mencegahnya, maka seluruh penghuni bahtera itu akan binasa. Tetapi sebaliknya jika kumpulan yang baik itu mahu mencegah perbuatan orang-orang yang mahu membuat kerosakan di atas bahtera itu, maka semuanya akan selamat.

Sifat Imam Hanafi yang lain adalah menolak kedudukan tinggi yang diberikan pemerintah kepadanya. Ia menolak pangkat dan menolak wang yang dibelikan kepadanya. Akibat dari penolakannya itu ia ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Di dalam penjara ia diseksa, dipukul dan sebagainya.

Gabenor di Iraq pada waktu itu berada di tangan Yazid bin Hurairah Al-Fazzari. Selaku pemimpin ia tentu dapat mengangkat dan memberhentikan pegawai yang berada di bawah kekuasaannya. Pernah pada suatu ketika Imam Hanafi akan diangkat menjadi ketua urusan perbendaharan negara (Baitul mal), tetapi pengangkatan itu ditolaknya. Ia tidak mahu menerima kedudukan tinggi tersebut. Sampai berulang kali Gabenor Yazid menawarkan pangkat itu kepadanya, namun tetap ditolaknya.

Pada waktu yang lain Gabenor Yazid menawarkan pangkat Kadi (hakim) tetapi juga ditolaknya. Rupanya Yazid tidak senang melihat sikap Imam Hanafi tersebut. Seolah-olah Imam Hanafi memusuhi pemerintah, kerana itu timbul rasa curiganya. Oleh kerana itu ia diselidiki dan diancam akan dihukum dengan hukum dera. Ketika Imam Hanafi mendengar kata ancaman hukum dera itu Imam Hanafi menjawab: “Demi Allah, aku tidak akan mengerjakan jabatan yang ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak kerajaan.” Demikian beraninya Imam Hanafi dalam menegakkan pendirian hidupnya.

Pada suatu hari Yazid memanggil para alim ulama ahli fiqih yang terkemuka di Iraq, dikumpulkan di muka istananya. Di antara mereka yang datang ketika itu adalah Ibnu Abi Laila. Ibnu Syblamah, Daud bin Abi Hind dan lain-lain. Kepada mereka, masing-masing diberi kedudukan rasmi oleh Gabenor.

Ketika itu gabenor menetapkan Imam Hanafi menjadi Pengetua jawatan Sekretari gabenor. Tugasnya adalah bertanggungjawab terhadap keluar masuk wang negara. Gabenor dalam memutuskan jabatan itu disertai dengan sumpah, “Jika Abu Hanifah tidak menerima pangkat itu nescaya ia akan dihukum dengan pukulan.”

Walaupun ada ancaman seperti itu, Imam Hanafi tetap menolak jawatan itu, bahkan ia tetap tegas, bahawa ia tidak mahu menjadi pegawai kerajaan dan tidak mahu campur tangan dalam urusan negara.

Kerana sikapnya itu, akhirnya ditangkap oleh gabenor. Kemudian dimasukkan ke dalam penjara selama dua minggu, dengan tidak dipukul. Lima belas hari kemudian baru dipukul sebanyak 14 kali pukulan, setelah itu baru dibebaskan. Beberapa hari sesudah itu gabenor menawarkan menjadi kadi, juga ditolaknya. Kemudian ditangkap lagi dan dijatuhi hukuman dera sebanyak 110 kali. Setiap hari didera sebanyak sepuluh kali pukulan. Namun demikian Imam Hanafi tetap dengan pendiriannya. Sampai ia dilepaskan kembali setelah cukup 110 kali cambukan.

Akibat dari pukulan itu muka dan seluruh badannya menjadi bengkak-bengkak. Hukuman cambuk itu sengaja untuk menghina Imam Hanafi. Walaupun demikian ketika Imam Hanafi diseksa ia sempat berkata. “Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman neraka di akhirat nanti.” Ketika ia berusia lebih dari 50 tahun, ketua negara ketika itu berada di tangan Marwan bin Muhammad. Imam Hanafi juga menerima ujian. Kemudian pada tahun 132 H sesudah dua tahun dari hukuman tadi terjadilah pergantian pimpinan negara, dari keturunan Umaiyyah ke tangan Abbasiyyah, ketua negaranya bernama Abu Abbas as Saffah.

Pada tahun 132 H sesudah Abu Abbas meninggal dunia diganti dengan ketua negara yang baru bernama Abi Jaafar Al-Mansur, saudara muda dari Abul Abbas as Saffah. Ketika itu Imam Abu Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya masih tetap harum sebagai ulama besar yang disegani. Ahli fikir yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu persoalan.

Suatu hari Imam Hanafi mendapat panggilan dari baginda Al-Mansur di Baghdad, supaya ia datang mengadap ke istana. Sesampainya ia di istana Baghdad ia ditetapkan oleh baginda menjadi kadi (hakim) kerajaan Baghdad. Dengan tawaran tersebut, salah seorang pegawai negara bertanya: “Adakah guru tetap akan menolak kedudukan baik itu?” Dijawab oleh Imam Hanafi “Amirul mukminin lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar sumpah saya.”

Kerana ia masih tetap menolak, maka diperintahkan kepada pengawal untuk menangkapnya, kemudian dimasukkan ke dalam penjara di Baghdad. Pada saat itu para ulama yang terkemuka di Kufah ada tiga orang. Salah satu di antaranya ialah Imam Ibnu Abi Laila. Ulama ini sejak pemerintahan Abu Abbas as Saffah telah menjadi mufti kerajaan untuk kota Kufah. Kerana sikap Imam Hanafi itu, Imam Abi Laila pun dilarang memberi fatwa.

Pada suatu hari Imam Hanafi dikeluarkan dari penjara kerana mendapat panggilan dari Al-Mansur, tetapi ia tetap menolak. Baginda bertanya, “Apakah engkau telah suka dalam keadaan seperti ini?”

Dijawab oleh Imam Hanafi: “Wahai Amirul Mukminin semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin.
Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah, janganlah bersekutu dalam kepercayaan dengan orang yang tidak takut kepada Allah. Demi Allah saya bukanlah orang yang boleh dipercayai di waktu tenang, maka bagaimana saya akan dipercayai di waktu marah, sungguh saya tidak sepatutnya diberi jawatan itu.”

Baginda berkata lagi: “Kamu berdusta, kamu patut dan sesuai memegang jawatan itu.” Dijawab oleh Imam Hanafi: “Amirul Mukminin, sungguh baginda telah menetapkan sendiri, jika saya benar, saya telah menyatakan bahawa saya tidak patut memegang jawatan itu. Jika saya berdusta, maka bagaimana baginda akan mengangkat seorang maulana yang dipandang rendah oleh bangsa Arab. Bangsa Arab tidak akan rela diadili seorang golongan hakim seperti saya.”

Pernah juga terjadi, baginda Abu Jaffar Al-Mansur memanggil tiga orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan ats Tauri dan Imam Syarik an Nakhaei. Setelah mereka hadir di istana, maka ketiganya ditetapkan untuk menduduki pangkat yang cukup tinggi dalam kenegaraan, masing-masing diberi surat pelantikan tersebut.

Imam Sufyan ats Tauri diangkat menjadi kadi di Kota Basrah, lmam Syarik diangkat menjadi kadi di ibu kota. Adapun Imam Hanafi tidak mahu menerima pengangkatan itu di manapun ia diletakkan. Pengangkatan itu disertai dengan ancaman bahawa siapa saja yang tidak mahu menerima jawatan itu akan didera sebanyak l00 kali deraan.

Imam Syarik menerima jawatan itu, tetapi Imam Sufyan tidak mahu menerimanya, kemudian ia melarikan diri ke Yaman. Imam Abu Hanifah juga tidak mahu menerimanya dan tidak pula berusaha melarikan diri.

Oleh sebab itu Imam Abu Hanifah dimasukkan kembali ke dalam penjara dan dijatuhi hukuman sebanyak 100 kali dera. Setiap pagi dipukul dengan cambuk sementara dileher beliau dikalung dengan rantai besi yang berat.

Suatu kali Imam Hanafi dipanggil baginda untuk mengadapnya. Setelah tiba di depan baginda, lalu diberinya segelas air yang berisi racun. Ia dipaksa meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu Imam Hanafi kembali dimasukkan ke dalam penjara. Imam Hanafi wafat dalam keadaan menderita di penjara ketika itu ia berusia 70 tahun.

Imam Hanafi menolak semua tawaran yang diberikan oleh kerajaan daulah Umaiyyah dan Abbasiyah adalah kerana beliau tidak sesuai dengan corak pemerintahan yang mereka kendalikan. Oleh sebab itu mereka berusaha mengajak Imam Hanafi untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka, dan akhirnya mereka seksa hingga meninggal, kerana Imam Hanafi menolak semua tawaran yang mereka berikan.

Sumber: Darulnukman.com

Read more...

LALAT + PENYAKIT VS RASULULLAH + SAINTIS

>> Thursday, August 13, 2009



Hadis Rasulullah:

Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat." Riwayat al-Bukhari.

Huraian :
Islam menghendaki kita supaya menjaga kebersihan bukan sahaja pada pakaian dan tempat tinggal malah pada makanan dan juga minuman. Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal ini sehinggakan apabila seekor lalat pun yang memasuki makanan atau minuman, baginda menyuruh kita berwaspada terhadap penyakit yang bakal menimpa seperti keracunan makanan dan sebagainya.

Apa yang disebutkan di dalam hadis di atas telah pun dibuat kajian oleh para saintis pada zaman kemudiannya. Contohnya pada tahun 1871, Prof. Brefild, Ilmuwan Jerman dari Universiti Hall menemui mikroorganisma jenis Fitriat yang diberi nama Ambaza Mouski dari golongan Antomofterali. Mikroorganisma ini hidup di bawah tingkat zat minyak di dalam perut lalat. Ambaza Mouski ini berkumpul di dalam sel-sel sehingga membentuk kekuatan yang besar. Kemudian sel-sel itu akan pecah dan mengeluarkan sitoplasma yang dapat membunuh kuman-kuman penyakit. Sel-sel tersebut terdapat di sekitar bahagian ke tiga dari tubuh lalat, iaitu pada bahagian perut dan ke bawah. Kemudian pada tahun 1947, Ernestein seorang Inggeris juga menyelidiki Fitriat pada lalat ini. Hasil penyelidikannya menyimpulkan bahawa fitriat tersebut dapat memusnahkan pelbagai bakteria.

Tahun 1950, Roleos dari Switzerland juga menemui mikroorganisma ini dan memberi nama Javasin. Para peneliti lain iaitu Prof. Kock, Famer (Inggeris), Rose, Etlengger (German) dan Blatner (Switzerland) melakukan penyelidikan dan membuat kesimpulan yang sama tentang mikroorganisma pada lalat sekali gus membuktikan bahawa pelbagai penyakit dan bakteria pada lalat hanya terdapat pada hujung kakinya saja dan bukan pada seluruh badannya. Justeru mikroorganisma yang dapat membunuh kuman itu tidak dapat keluar dari tubuh lalat kecuali setelah disentuh oleh benda cair. Cairan ini dapat menambah tekanan pada sel-sel yang mengandungi mikroorganisma penolak kuman sehingga pecah dan memercikkan mikroorganisma istimewa ini.

Maka adalah ternyata bahawa apa yang dikatakan oleh Rasulullah adalah benar iaitu saranan baginda kepada kita agar menenggelamkan lalat terlebih dahulu ke dalam air bagi mengeluarkan mikroorganisma penolak kuman dari badan lalat tersebut, dalam erti kata bahawa badannya harus dibasahkan sebelum membuangnya dan air yang menjadi tempat pendaratan lalat tadi dapat diminum dengan selamat. Subhanallah betapa hebatnya junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

Read more...

MAKSIAT: KALAU CUKUP SYARAT-SYARAT NI,BUATLAH....

>> Tuesday, August 11, 2009



5 syarat nak buat maksiat

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu m asih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini akut bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak.


*Allah senantiasa mengampunkan kesalahan dan dosa hambaNya selagi mana kesalahan tersebut bukan membawa kepada mensyirikkanNya...

Read more...

Sejenak di Abu Dhabi,UAE

>> Sunday, August 9, 2009

Assalamualaikum..sewaktu menulis entri ini saya sedang transit di Abu Dhabi International Airport selama 6 jam sementara menunggu penerbangan seterusnya ke Kuala Lumpur.Saya tiba dari Amman,Jordan jam 8.40 malam tadi waktu U.A.E, setelah 3 jam berada dalam pesawat Etihad Airways Airbus 320. Ini juga adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Abu Dhabi International Airport..Masyaalah, besar dan canggih rupanya airport diorang nih..Lebih cantik dari airport Negara Teluk lain yang saya pernah singgah seperti Doha-Qatar ,Bahrain dan Queen Alia International Airport Jordan..

KENAPA DINAMAKAN UNITED ARAB EMIRATES

UAE adalah gabungan 7 negeri bersekutu terdiri daripada Abu Dhabi, 'Ajman, Al Fujayrah, Ash Shariqah, Dubayy, Umm al Qaywayn dan Ra's al Khaymah yang memeterai perjanjian menjadi sebuah Negara pada tahun 1971. Dasar luar dan pertahanan UAE dikawal oleh United Kingdom berdasarkan perjanjian yang dibuat pada kurun ke 19. .

Untuk makluman UAE adalah termasuk dalam senarai teluk yang kaya raya..Bertunjangkan hasil petrol, Negara yang dahulunya hanya berbentuk tanah tandus,didiami oleh orang Badawi yang miskin,sekelip mata menjadi Negara pelancongan bertaraf Dunia. Di Negara inilah terletaknya Burj Arab Dubai yang merupakan menara tertinggi dunia setakat ini..Perlumbaan membina bangunan2 high risk berterusan hingga kini..

KRISIS NEGARA ARAB KAYA..ADUHAI..

Yang sedihnya, walaupun UAE ni kaya, tapi ia adalah sekutu kuat Amerika..Buktinya,bila berlaku pengeboman di GAZA, UAE dan negara2 teluk yang lain hanya diam membisu..tiada tindakan berani diambil,walaupun sekadar usul mengecam..Sewaktu Iraq dihujani bom, mereka juga lah yang mengizinkan penggunaan ruang udara oleh pesawat perang Amerika dan membuka laluan untuk kapal2 perang sperti USS Lincoln masuk ke Perairan Teluk.Dek bimbang keselamatan Negara terancam, semuanya jadi pengecut,sekalipun ,melihat umat seagama dizalimi..Betul seperti sabda Nabi, umat Islam akhir zaman akan diuji dengan penyakit al-wahan..Cintakan dunia,takutkan mati.Izzah Islam tidak lagi dirasai apabila Allah melenyapkan perasaan gentar musuh terhadap umat Islam..

Ok,bateri laptop pun dah nak habis ni..insyaallah jumpa lagi di penulisan akan datang..

Menunggu transit..

Abu Dhabi,UAE

Read more...

TAHNIAH SAHABAT-SAHABATKU,TERUSKAN PERJUANGAN TEGAKKAN AGAMA

>> Friday, August 7, 2009

Alhamdulillah, menjelang detik keberangkatan saya ke bumi Malaysia untuk menemui isteri dan keluarga tercinta,saya sempat menghadiri 2 siri munaqasyah viva Master sahabat baik saya,Ust Muhaimin & Ust Razi..Kedua-duanya lulus dengan ta'dilat..Tahniah diucapkan!Semoga ilmu yang ditimba di bumi Jordan ini dapat dijadikan bekalan dalam membimbing masyarakat Muslim di tanah air khususnya,bg mengenal Allah S.W.T..

Ust Muhaimin, tesisnya adalah dalam ilmu Qiraat manakala Ust Razi menulis tentang pandangan Quran tentang an-Nahdhoh (Pembangunan) serta aplikasinya di alaf moden,suatu tajuk yang waqi'ie dan praktikal,tentang bagaimana al-Quran membicarakan tentang kisah-kisah serta isu-isu berkaitan pembangunan umat sepertimana kisah Kerajaan Saba', Nabi Yusuf dan Nabi Sulaiman..Maknanya,ia bukan sekadar kitab wahyu yang mengajar tentang urusan agama semata-mata.Bab kata Sheikh Dr. Solah al-Khalidi dalam munaqasyah semalam,Al-Quran ini merupakan kitab yang hayawi (hidup)..Biar berlaku peredaran masa dan zaman,praktikal serta relevansinya tetap ada..Walau pelbagai tajuk dan tema kehidupan dibicarakan,namun panduan dari al-Quran tetap rasional..

Pagi ini,saya sempat juga bertalaqqi al-Quran untuk kali yang terakhir mungkin, bersama Sheikh Salim,guru al-Quran saya di bumi Jordan.Namun begitu,rasa sedih dan pilu tetap ada memandangkan tidak berpeluang menghabiskan bacaan seluruh al-Quran dengan beliau.Saya memulakan pengajian dengan beliau agak lewat,hanya sekitar beberapa bulan yang lalu kerana sebelum ini saya mengikuti pengajian al-Quran secara bersanad bersama Sheikh Taufiq ad-Dhomrah.Apapun,untuk kedua-dua ulamak qiraat ini,saya doakan semoga Allah mengampuni mereka serta memberkati kehidupan mereka.amin..

Coretan subuh,
Sweileh,Amman, Jordan

Ust Muhaimin ketika membentangkan tesisnya

Ust Razi bersama para munaqisyin sejurus tamat viva

Syeikh Taufiq Ibrahim ad-Dhomrah di suatu program Jaulah yang dianjurkan

Saya bersama Sheikh Salim,guru al-Quran yang banyak mencurah ilmu pd saya,gambar di Masjid Abd Rahman Ibn Auf, Sweileh

Sheikh Dr Solah Abdul Fattah al-Kholidi,ulamak tafsir Jordan yang telah
mengarang puluhan kitab di bidang Tafsir

Read more...

HASAD DAN PRASANGKA...BAGAIMANA CARA MENGELAKNYA?

>> Thursday, August 6, 2009


Perasaan hasad, dengki, ujub dan riya’ adalah perasaan kotor yang ada di dalam hati manusia kecuali Rasulullah SAW yang telah dicuci hatinya semasa peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Semua ini adalah perbuatan yang terklasifikasi (terkategori) dalam bahagian syirik khafi iaitu syirik yang tersembunyi.

Berikut adalah tips dari Syeikh Abdul Qadir Al Jailani untuk sentiasa bersangka baik sesama insan.

Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu :
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".

Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku"..

Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya.
Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.

Read more...

KISAH LUCU : ABU NAWAS... SELAMBA DAN BIJAKSANA

>> Tuesday, August 4, 2009

Pada suatu hari Abu Nawas pergi ke pasar Baghdad lalu berkata dengan suara yang nyaring. " Dalam hidup saya ada tiga perkara yang selalu saya lakukan. Kalau kalian nak dengar sila datang beramai-ramai."
Maka orang ramai pun berkumpul di keliling Abu Nawas.

" Wahai Abu Nawas otak geliga tapi perangai gila-gila. Beritahu kami apa tiga perkara itu." desak seorang pengawal Khalifah Harun Al Rashid yang kebetulan berada di situ.

" Yang pertama, saya selalu bersaksi dengan perkara yang tidak pernah saya lihat," jawab Abu Nawas." Memang tuan orang gila," kata Pengawal Khalifah.

"Yang kedua, saya selalu melarikan diri dari rahmat Allah swt." "MasyaAllah, Abu Nawas sudah sesat!" jerit orang ramai.

" Yang ketiga, saya selalu makan bangkai!." Jawapan Abu Nawas menimbulkan kemarahan orang ramai. Mereka mendesak Abu Nawas di hadapkan kepada Khalifah Harun Al Rasyid supaya dihukum. Maka pengawal pun mengheret Abu Nawas ke istana lalu dihadapkan kepada Khalifah Harun Al Rashid. klik untuk lanjutan kisah...

" Benarkah apa yang kamu katakan itu, wahai Abu Nawas?" tanya Khalifah."Benar wahai Amirul Mukminin," jawab Abu Nawas dengan tenang. " Kamu dihukum penjara," titah Khalifah Harun Al Rasyid dan orang ramai gembira mendengarnya.

Tetapi esoknya orang ramai terkejut dan merasa hairan bila melihat Abu Nawas ada di pasar dan mengulangi lagi ucapan yang sama.

"Bukankah awak sudah dihukum penjara oleh Amirul Mukminin?" tanya orang ramai.
" Benar…" jawab Abu Nawas sambil tertawa. " Saya ucapkan terima kasih kerana kamu saya mendapat hadiah daripada Khalifah yang bijaksana." Orang ramai merasa hairan lalu meminta Abu Nawas menjelaskannya.

" Amirul Mukminin Harun Al Rashid seorang khalifah yang bijaksana dan setelah baginda mendengar penjelasan saya, maka saya dilepaskan dari penjara dan diberi hadiah oleh baginda." Jawapan itu menyebabkan orang ramai semakin takjub lalu minta penjelasan dari Abu Nawas terhadap tiga perkara yang mengelirukan mereka.

" Yang saya maksudkan bersaksi dengan perkara yang tidak pernah di lihat itu maksudnya begini, saya bersaksi bahawa Allah itu ada walaupun saya tidak pernah melihatnya."

"Melarikan diri dari rahmat Allah maknanya bila hujan turun saya melarikan diri ke tempat teduh. Bukankah hujan itu rahmat Allah?"

"Saya selalu makan bangkai maknanya saya suka makan ikan. Bukankah ikan itu tidak disembelih dan setiap haiwan yang tidak disembelih disebut bangkai?" Orang ramai kagum dengan kebijaksanaan Abu Nawas.

Read more...

Mencari Sahabat di Padang Mahsyar...

>> Monday, August 3, 2009



Suatu hari datang seorang lelaki berjumpa Rasulullah,lantas dia bertanya: Wahai Rasulullah, bilakah akan berlakunya Qiyamah?Nabi tak menjawab soalan itu,sebaliknya bertanya: Apa pula bekalan kamu untuk menghadapinya?Jawab lelaki itu: Aku tiada bekal amalan yang banyak, melainkan aku amat cintakan Allah dan RasulNYA..Nabi bersabda: Sesungguhnya seorang itu akan bersama dengan siapa yang dicintainya (المرء مع من أحب)"
- Riwayat Bukhari & Muslim

ٍYa, setiap insan akan bersama dengan siapa yang dikasihinya pada hari Mahsyar..

Anas bin Malik sebaik mendengar hadith ini berkata: Tidak ada sesuatu yang lebih menggembirakan kaum Muslimin selain dari mengetahui hadith ini..dan aku mencintai Rasulullah, Abu Bakar dan Omar dengan harapan aku dikumpulkan bersama mereka oleh Allah di hari Mahsyar,sekalipun amalanku tidak sama dengan amalan mereka..



Itu kata Anas bin Malek,seorang tabi'i..?Sekarang renung pula diri kita,Apa yang pula yang kita cintai? Kekasih hati? Artis? Pelakon Angelina Jolie & Bradpitt? Harta kekayaan dan anak-anak? pemimpin politik rasuah yang banyak bagi habuan dunia sewaktu kempen? Ataukah para ulamak dan orang-orang soleh?

Aduh,keliru..hari-hari ini dilalui dengan mendengar muzik-muzik rock kapak yang melalaikan, menonton filem lakonan pelakon pujaan Kiera Nightly yang bertubuh seksi itu , sesekali membeliakkan mata melihat tarian Aishwarya Rai dan Shahrukh Khan dalam filem hindi. Tom Cruise dan Jet Lee juga aku suka lantaran kehebatan mereka dalam melakonkan aksi ngeri..Bagaimana pula rakan-rakan aku? Apa, aku bertemankan individu yang tidak solat, culas puasa, kaki clubbing, minum arak, sesekali menghabiskan masa bersama mereka melepak-lepak di kotaraya untuk 'cuci mata' melihat gadis-gadis liar..

Argh,parah! Kalau macamni,masakan ada peluang untuk ku rebut tempat bersama para Anbiya', sahabat, ulamak dan para solehin? Kuliyah-kuliyah agama terasa panas untuk dihadiri..Ayat-ayat al-Quran dah lama tidak meniti di bibir..Selawat kepada Rasulullah jarang aku lafazkan.




Ya Allah, aku dah terlalu jauh dari jalanMU, tidak langsung miliki waktu untuk muhasabah diri, ibadah aku menduduki tempat paling tercorot dalam carta kehidupan..Air mataku tidak pernah tumpah apabila mendengar ayat-ayat yang membicarakan kedahsyatan azab nerakaMU..Ampunilah segala dosaku Ya Allah..Masukkanlah aku ke dalam syurgaMU yang paling tinggi..Amin

Sweileh, Amman
Jordan








Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP