MENYANTUNI DAN MENDEKATI GOLONGAN 'BELAKANG MATI'

>> Tuesday, September 15, 2009








Tiba-tiba belakang bangunan PAS itu jadi tumpuan bak lebah mengerumuni madu. Tidak semena-mena kelibat para penghuni lorong gelap, golongan gelandangan serta marhaen, anak-anak pekerja seks, penagih dadah dan maknyah melabuhkan diri dalam sebuah program PAS.


Program yang berjaya menyatukan semua golongan daripada aneka jenis latar belakang. Daripada masyarakat bawahan, miskin ataupun yatim masing-masing bersama meluangkan masa beramah mesra dengan pimpinan PAS.Sama-sama bersila, bersimpuh dan bersentuh lutut tatkala menjamu selera ketika berbuka puasa.

Itulah keistimewaan dan keunikan program PAS yang diberi nama Semarak dan Semerak Ramadan PAS yang berlangsung buat julung kalinya petang semalam di belakang bangunan pejabat agung PAS Jalan Raja Laut. Ia berjaya melakarkan sejarahnya yang tersendiri dengan sambutannya yang cukup luar biasa dan luar jangka.

Sungguhpun, pada asalnya penat merempuh jalan raya yang sesak menuju ke pejabat PAS ini, namun hilang lelah tatkala melihat kehadiran orang ramai dan aktiviti yang dianjurkan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat. Lebih kagum kesungguhan para petugas menjayakan program ini, sungguhpun suasana Ramadan berbaki tujuh hari dan bakal melintasi Syawal tak lama lagi.

Bermula jam 2.00 petang, di bawah enam khemah 'berkipas' yang boleh menampung kehadiran lebih 200 orang, program dimulakan dengan membuka kaunter perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma daripada doktor dan pengamal perubatan alternatif yang didatangkan khas daripada Darussyifa, khidmat nasihat guaman syariah dan sivil daripada tiga peguam dan khidmat kaunseling daripada seorang pakar.

Selain itu, terdapat kaunter pusat khidmat wakil rakyat kawasan Titiwangsa bagi para pengundi untuk mengajukan masalah setempat dan kaunter daftar Ahli PAS dibuka bagi yang berminat.

Mengkagumkan, semua kaunter dipenuhi dengan orang ramai yang berhajat tanpa rasa segan dan silu. Tanpa kecuali Harakahdaily juga sempat menjengah satu persatu kaunter yang dibuka bagi mendapat beberapa info untuk menambah ilmu diri.

Seperti di Kaunter Guaman, Harakahdaily dimaklumkan bahawa antara aduan, kes ataupun masalah yang dirujuk lebih tertumpu kepada hal ehwal rumah tangga seperti nafkah pencarian, tuntutan harta, cerai berai dan melibatkan ibu tunggal yang bermasalah.
Kaunter ini, diselia oleh peguam Ahmad Zamri dan Marlina Amir.

Terdapat pameran informasi undang-undang turut dipaparkan di belakang khemah bagi orang ramai mendapatkan sedikit sebanyak maklumat berkaitan antaranya seperti urusan pembahagian harta, keadilan kes rumah tangga dan juga hak-hak yang wajar diketahui umum. Tanpa kecuali risalah dan pamplet berkaitan juga turut diedarkan.

Menarik perhatian, apabila seorang remaja lelaki cuba mendapatkan rawatan bengkak kaki daripada Ustaz Mohd Ali Jamil daripada Darussyifa. Bukan itu sahaja, beberapa orang bukan Islam juga turut mendapatkan khidmat nasihat Ali Jamil yang diberikan secara percuma juga.

Kaunter kesihatan juga tidak menang tangan dibuatnya, apabila hadirin cuba mendapatkan nasihat para doktor yang bertugas berkaitan penyakit yang dihadapi seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

Kira-kira jam 3.00 petang,pengacara majlis berbesar hati mengumumkan sejumlah 27 orang telah mendaftar sebagai ahli PAS, yang rata-ratanya terdiri daripada remaja dan pemuda sekitar usia 18 sehingga 30 tahun.

Terdapat dua tabung disediakan di dalam khemah bagi orang ramai yang berhajat menyumbangkan dana untuk disalurkan bagi tujuan aktiviti "Kami Prihatin" anjuran Parlimen Titiwangsa seterusnya untuk golongan yang kurang bernasib baik. Mencuri perhatian orang ramai apabila seorang warga emas berbangsa Cina, menderma sejumlah wang ke tabung tersebut.

Sungguhpun, hujan lebat mula membasahi pekarangan kawasan program namun semangat dan keinginan orang ramai khususnya penghuni lorong 'belakang mati' untuk merapat dan mendekati, tidak patah bahkan semakin menyemarak untuk menyertai aktiviti yang sedia ada.

Tidak dinafikan, di belakang lorong, terdapat juga beberapa orang penghuni yang agak segan dan malu-malu alah untuk menjengah sungguhpun dialu-alukan oleh pengacara dari masa ke semasa.


Ada yang meninjau dari balik belakang bangunan, mengintai dari tepi dinding dan tingkap. Ada yang mahu tapi malu.

Setelah agak lama memerhati ragam hadirin, Harakahdaily sempat beramah dan berkongsi cerita dengan dua orang saudara baru yang begitu kagum dengan program yang dianjurkan oleh PAS ini.

Bagi Muhd Ali Beh Abdullah, 53 yang berasal dari Miri Sarawak dan Muhd Hassan Che Peng Abdullah, 35, program ini wajar diteruskan dan dijadikan acara tahunan kerana aktiviti yang dijalankan begitu bermanfaat buat masyarakat khususnya saudara baru seperti mereka yang dahagakan ilmu.

"Saya minat Islam bila pergi masjid dengan kawan-kawan melayu. Bila saya cuba-cuba sembahyang, hati sangat tenang," kata Hassan yang memeluk agama Islam, 4 bulan lalu.
Sungguhpun begitu, kedua-dua mereka melahirkan rasa kecewa dengan layanan yang diberikan oleh dua agensi agama kerajaan yang dilihat tidak mengambil berat hal ehwal kebajikan saudara baru khususnya melibatkan zakat yang tidak mereka terima.
Mereka ini, adalah antara empat saudara baru yang hadir mengetahui program ini melalui iklan kain rentang yang dipamerkan di pejabat agung PAS itu.

Bagi Norliyana Zanar 16, yang hadir bersama empat adik-beradiknya yang lain, begitu seronok ketika dijemput oleh pihak penganjur untuk sama-sama memeriahkan program tersebut dan dia merupakan antara 18 anak yatim Kampung Jawa yang diraikan oleh PAS.
"Raya ini macam biasa dan ala kadar sahaja sahaja. Baju raya pun belum beli lagi," katanya yang telah kehilangan ayah tercinta kerana sakit asma semenjak dia tadika lagi.

PEMIMPIN BERSAMA RAKYAT

Kelihatan Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali; Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Mantan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin; ADUN Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani, Presiden Anak, Mazlan Aliman dan Ketua Muslimat PAS Nuridah Salleh antara pimpinan PAS yang 'menanggalkan' gelaran Dato' mahupun Yang Berhormat untuk sama-sama merasai 'kenikmatan' dan denyut nadi bersama golongan akar umbi ini.

Mereka sama-sama turun padang, berbuka puasa dengan makanan bungkus dan tidak kekok mereka menyapa orang ramai sambil bersalaman dan bertukar-tukar cerita antara satu sama lain.
Dengan juadah hidangan bungkus nasi tomato berlauk ayam, bubur lambuk dan kuih agar-agar membuatkan masing-masing begitu berselera sekali menjamu tatkala, azan mula berkumandang di ruang angkasa lorong Haji Taib dan Chow Kit itu.

"Program ini bagi mengeratkan hubungan dengan jiran kita dari lorong ini. Dengan sumbangan dan pemberian yang tak seberapa daripada PAS ini, walaupun tak dapat menyelesaikan semua masalah, sekurang-kurangnya dapat menceriakan Ramadan dan Aidilfitri mereka nanti, " kata Dr Hatta kepada Harakahdaily.

Malam ini, malam bahagia mereka bagi anak-anak yatim, anak-anak pekerja seks, si fakir miskin,si jalanan dan golongan yang terjerumus ke kancah hitam, moga terbit rasa insaf diri setelah disantuni dan didekati PAS sendiri.

Kelihatan terbit raut bahagia dan teruja di wajah mereka kerana sudi dilayan dan dimesrai oleh PAS, sekaligus tidak dipinggirkan sungguhpun di balik tabir, hidup mereka dibaluti kelam dan suram.

Majlis dan program yang berlangsung selama enam jam dan berakhir 8.30 malam itu, telah mula mencebiskan nama PAS dan parti itu mula meniti dibibir mereka sejak dua tahun 'bertapak' di lorong ini.

PAS mula disegani, dan semakin ramai yang mahu mengenali. Dan slogan "PAS for All" dan "Negara Berkebajikan" membuktikan kebenarannya hari ini dan lorong ini semalamnya menjadi saksi!

sUMBER: hARAKAHDAILY

Read more...

CORETAN SEPERTIGA TERAKHIR RAMADHAN...

>> Saturday, September 12, 2009


Alhamdulillah, pagi ini baru saya berkesempatan untuk mencoret ruangan dalam blog ini..Sepanjang ramadhan ini masa saya agak terhad untuk 'membelek' laman blog sendiri..Antara sedar atau tidak ramadahan hanya tinggal kurang sepuluh hari untuk menyambut pulang kedatangan syawal.


Semalam (Jumaat) saya diminta untuk membaca khutbah di Masjid Kampung Padang, Pokok Sena, Kedah dan mengimami solat Jumaat. Khutbah saya semalam adalah berkenaan kelebihan sepuluh terakhir Ramadhan (al-'asyrul awakhir)..Di antara keistimewaan hari sepuluh terakhir ini adalah padanya terdapat Lailatul Qadar. Malam yang Allah sebutkan dalam al-Quran,ibadah yang dilakukan pada waktu itu adalah lebih baik dari seribu bulan, bersamaan 83 tahun 4 bulan..


Dalam sebuah hadith Riwayat siti Aisyah menyebutkan bahawa Nabi S.A.w apabila masuknya sepuluh terakhir Ramadhan, baginda menggandakan amalan ibadah,menggerakkan ahli keluarga supaya sama menghidupkan malam2nya dengan ibadah, serta mengetatkan kainnya (kinayah kepada tidak bersetubuh)..


Mudah-mudahan kita juga turut tidak ketinggalan untuk merebut pelbagai kelebihan yang dijanjikan Allah pada bulan ini..Ibarat kalu kita pandukereta, pada masa ini kereta kita perlu dipecut sebanyak 190 KM/J..Kita berlumba2 dalam mengejar ganjaran pahala sebelum peluang ini tamat..


Catatan pagi,


Pokok Sena, Alor Star, Kedah

Read more...

Motivasi Diri: Sifat Kelembutan Rasulullah Dan Ujian Zaid bin Su'nah

>> Wednesday, September 9, 2009

Zaid bin Su'nah merupakan salah seorang pendeta Yahudi di Madinah. Beliau selalu mengikuti perkembangan tentang Rasulullah. Beliau yang membaca kitab Taurat memang mengetahui tentang sifat2 Rasululullah yang disebutkan dalam at-Taurat.Di antaranya Taurat menyatakan bahawa Rasululullah adalah utusan terakhir dan baginda berakhlak mulia.Semua ciri2 ini beliau tahu terdapat pada diri baginda kecuali masih ada 2 sifat yang disebut dalam Taurat yang belum jelas baginya pada syakhsiyah nabi, kerana beliau belum berpeluang menyelidikinya..

Pertama: Kelembutan dan sifat kasih sayang Baginda mengatasi kejahilannya
Kedua: Kelembutan dan sifat kasih sayang ini akan bertambah,dengan bertambahnya kejahilan

Akhirnya,Zaid bin Su'nah mendapat peluang yang dinantikan untuk membuktikan 2 sifat ini memang dimiliki oleh nabi..

Pada suatu ketika,datang seorang pemuda Badwi kepada baginda di MAdinah, mengadu kepada Baginda tentang ketiadaan makanan yang dialami keluarganya disebabkan kemarau dan masalah tanamannya.Pemuda tersebut meminta supaya Nabi memberinya makanan, sedangkan Nabi tiada makanan pada ketika itu untuk diberikan kepadanya.

Lalu Zaid bin Su'nah terus menawarkan kepada Nabi tamarnya.Rasululullah lalu berhutang tamar darinya, dan hutang itu akan dibayar dalam tempoh tertentu.Tamar itu lalu diberikan kepada pemuda Badwi tersebut.

Tetapi sebelum tempoh pembayaran hutang itu tamat,Zaid bin Su'nah telah datang kepada nabi,minta supaya hutang itu dilangsaikan segera.

Di waktu nabi sedang berbicara dengan para sahabat, Zaid terus meluru ke arah Rasulullah dengan begitu kasar, lalu menarik pakaian baginda dan bertempik: "Wahai Muhammad,kembalikan hak aku. Kamu dari Bani Hashim memang kaum yang melambat2kan bayaran hutang!".

Perbuatan Zaid ini mengundang rasa marah dalam diri Sahabat,ditambah pula beliau dari bangsa Yahudi yang amat dibenci.Saidana Umar lantas bangun lalu berkata: :"Ya Rasulullah,biarkan kepala Yahudi ini aku penggal!".

Sungguh pelik,Rasulullah hanya tersenyum dan membalas kata Umar:" Bahawa aku dan Zaid lebih berhak memutuskan keputusan dari kamu wahai Umar. Kamu Sepatutnya meminta aku supaya baik dalam tindakan, dan memintanya supaya baik dalam membuat penghakiman..Sekarang bawalah ia pergi ke Baitulmal dan berikan haknya,bahkan tambahkan lagi kerana kamu telah menakutkan2nya"..

Kalam ini telah mengagumkan Zaid bin Su'nah kerana Rasulullah boleh saja mengingkari tuntutannya tadi disebabkan tempoh pembayaran hutang masih ada. Baginda juga sepatutnya membalas dan menegur perbuatannya yang kasar serta melampau dalam meminta. Sebaliknya, baginda sekadar tersenyum,menandakan sifat kelembutan dan berlapang dada.

Zaid lantas bangun dan berkata: "Wahai Umar! sesungguhnya aku sengaja masuk bertindak secara kasar kepada Rasulullah bagi menguji dua sifat baginda yang masih aku ingin ketahui,sepertimana disebut dalam kitab Taurat..Sifat Santunan dan kelembutan baginda mengatasi kejahilannya dan semakin bertambah kelembutannya ketika bertambah kejahilan". Wahai Umar, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah"

Kisah ini dapat kita jadikan panduan berguna dalam hidup..Sentiasa berlapang dada sekalipun dilayan dengan cara kasar..


Sumber asal: Terjemahan bebas dari ((Kitab Anwar Ramadhaniyah)) oleh Dr Solah Abdul Fattah al-Kholidi

Read more...

SANTUNI GOLONGAN TERSISIH DALAM MASYARAKAT-DAKWAH ISLAM PRAKTIKAL YANG PERLU DITERUSKAN

>> Saturday, September 5, 2009



Sudah menjadi 'buah mulut' di kalangan mereka ini - si pengemis, si fakir, yang tidak berumah, penagih dadah, pondan, pelacur dan kanak-kanak 'lorong gelap' bahawa bangunan itu menjanjikan 'syurga' setiap hari Jumaat.

Selang 15 minit sebelum jarum jam pukul 6.00 petang, pintu kaca Pejabat Agung PAS mula dirapati dan dikerumuni mereka.


Mata masing-masing merenung tajam bungkusan-bungkusan plastik berlogo 'Hijau Putih' yang tersusun kemas di atas meja. Sudah tidak sabar rasanya, untuk mencapai satu, getus hati-hati yang 'geram'.

Mereka itu, golongan gelandangan yang memenuhi pekarangan bangunan PAS dengan satu tujuan - mendapatkan makanan percuma buat pengalas perut pada hari itu.

Baik Cina, Melayu, India dan pelbagai kulit warna, di sinilah lokasi mereka bertemu setiap penghulu hari itu. Ada yang sudah kenal antara satu sama lain - bersembang-sembang sambil bergurau,ada yang duduk sendiri-sendiri menunggu waktu tiba, ada yang mengusap-usap peluh di dahi anak yang dikendong dan ada yang teragak-agak malu untuk menghampiri bangunan itu.

Dengan nasi berlaukkan ayam masak kurma serta sayuran sebagai juadah, sudah cukup menceriakan mereka pada hari itu. Adakalanya menunya juga bertukar, ada masa bungkusan nasi itu diletakkan ikan goreng, telur rebus ataupun ikan masin. Biar apa pun sajiannya, mereka tidak ambil peduli. Yang penting perut hari itu telah diisi.

Dan inilah secebis kepuasan PAS dan para petugasnya, ketika melihat mereka begitu beselera sekali menjamu di kaki lima dan tepi tangga bangunan PAS sebaik sahaja mendapat makanan percuma itu.

Demikian luahan kegembiraan penyelaras makanan percuma Syaripuddin Mat Yatim, petugas Unit Amal dan beberapa kakitangan pejabat PAS kepada krew Harakahdaily kira-kira 5.30 petang, Jumaat lalu, sewaktu sedang sibuk membungkus dan menyusun juadah penuh nikmat itu.

Kerja-kerja amal dan sumbangan kecil ini, secara tidak langsung telah memancarkan nama PAS di pelusuk ibu kota dan ianya amat besar ertinya kepada golongan gelandangan ini.

Ini diakui sendiri, Mohd Rashid Othman 51, yang sudah dua tahun secara 'tetap', datang ke pejabat PAS ini, untuk mengambil makanan percuma. Dia yang yang tinggal di Setapak merasa bersyukur dengan sumbangan itu, yang sedikit sebanyak meringankan beban sesuap nasi, bagi dirinya yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Manakala seorang 'mak nyah',dikenali sebagai Ameera, 26 mendapat tahu agihan ini melalui rakan-rakannya,dan berjanji akan datang setiap Jumaat untuk mengambil peluang percuma itu.

"Insya-Allah saya akan datang sini seminggu sekali. Benda yang baik ini elok diteruskan dan bantu mereka yang perlukan seperti saya," katanya tersenyum simpul ketika disoal krew Harakahdaily.

Ya memang benar, selama dua tahun, semenjak 6 Julai 2007, PAS tidak pernah gagal dan culas pada setiap hari Jumaat, menyediakan makanan percuma kepada mereka yang dhaif ini dan secara purata, sejumlah lebih 200 bungkusan disajikan, namun adakala ianya tidak mencukupi.

Nurulhuda Muslim 30, sambil mendukung anaknya berusia dua tahun lebih, menyambut baik usaha yang dilakukan terutama untuk penagih dadah yang memerlukan bantuan makanan seperti dirinya.

"Baguslah... ada makan macam ini. Saya menagih dadah sudah 8 tahun dan tak kerja. Jadi hari ini dapatlah saya dan anak makan. Esok, akan cari tempat lain yang beri makanan percuma," katanya yang menagih dadah jenis 'Ice' dan enggan bergambar kerana khuatir 'diketahui' atau 'dikenali' keluarganya yang ada di Sabah.

Rupanya, Nurulhuda sudah 'arif', mencari makanan percuma yang diedarkan oleh persatuan dan kumpulan agama tertentu pada hari dan lokasi yang telah ditetapkan.

"Walaupun bukan kumpulan agama Islam yang beri makanan, tapi saya rasa makanan dibuat itu halal," katanya penuh yakin dan terus beredar segera ke pintu kaca Pejabat PAS untuk menunggu giliran.

Selain PAS, seperti yang diakui Nurulhuda, terdapat dua lagi lokasi makanan percuma di ibu kota yang turut mendapat perhatian, iaitu berhampiran sebuah gereja di Muzium Telekom pada hari Ahad manakala satu lagi di bangunan Baitulmal Wilayah Persekutuan di Kampung Baru pada hari Rabu.

Ini tidak termasuk kumpulan dan persatuan tertentu, yang mengagihkan makanan percuma secara 'mobile' atau bergerak, iaitu singgah di mana-mana lokasi,di mana golongan gelandangan ini bersidai ataupun melepaskan lelah.

Petang itu hujan begitu lebat, dan hanya sekitar 100 orang memenuhi ruang depan pejabat parti itu di mana pintu 'kaunter' makanan percuma akan dibuka tepat jam 6.00 petang. Tukang agih memberi sedikit taklimat ringkas kepada mereka agar, mengikut peraturan, kesopanan dan adab ketika mengambil makanan percuma itu.

"Kalau tak hujan, 5.30 petang dah penuh kawasan depan ni...ramai. Malah ada yang datang dua tiga 'round' untuk ambil makanan," katanya yang sudah 'masak' dengan aneka ragam mereka yang berpusu-pusu di sini.

Ditanya tentang maklum balas yang diterima ataupun 'keuntungan' yang didapati sejak dua tahun program edar makan percuma yang diilhamkan Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli dan seorang penyokong parti itu, kata Abang Chem itu urusan tuhan yang menentukan.

"Setakat ini, tidak ada apa-apa. Kita beri, dengan niat ikhlas dan nak bantu. Selebihnya, dari sudut berubah atau gerak hati, Allah lah yang uruskan," katanya.

Bagi Syaripuddin adalah lebih baik, selain PAS, masyarakat dan golongan yang berada dapat turut serta dalam menyumbang dana untuk menjayakan dan melancarkan aktiviti yang dilaksanakan secara konsiten itu, di samping memperbanyakkan kuatiti makanan percuma ini.

Sedang, ditemubual Harakahdaily, dua wanita berusia sekitar 40 an' bertemu Syariffudin meminta jasa baik pihak PAS untuk datang ke rumahnya - flat berhampiran bangunan PAS itu, bagi meraikan majlis khatan anak mereka.

"Azamin, nampaknya inilah 'keuntungan' yang kita dapat buat pertama kalinya, kerana mereka dah mula kenal kita. Mereka minta bacakan doa di kenduri anaknya. Ini satu dakwah dan kejayaan," katanya dengan raut gembira dan berharap Harakahdaily juga turut serta di majlis itu.

Ketika Harakahdaily meninggalkan bangunan PAS itu kira-kira jam 6.30 petang, hati tersentuh, melihat kelibat beberapa orang sedang menjamu - nasi bungkus percuma PAS, dengan wajah ceria terpancar dan penuh semangat. Dan gelagat aksi Nurulhuda menyuap nasi ke mulut si kecil comel itu, lebih meruntun hati...

Sumber: Harakahdaily

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP